Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resipi Shellout Sedap Dengan Seafood Segar. Kuah Padu Sehingga Menjilat Jari!

0

Makanan shellout ni antara hidangan yang boleh merapatkan hubungan seisi keluarga. Betapa seronoknya dapat menjamu selera beramai-ramai kan. Memang sesuai dijadikan santapan bersama kalau dimasak sendiri di rumah sebab jauh jimatnya berbanding makan di kedai.

Bagi penggemar seafood, makanan shellout ni memang antara yang digemari. Campak je segala jenis seafood yang kita suka ke dalam kuahnya, dah boleh nikmati kesemuanya dalam satu hidangan.

Bagi yang tak tahu, shellout ni memang hidangan seafood sahaja tau. Tak pernah dicampur lagi dengan daging atau ayam.

Penyediaan shellout ni tak lah begitu susah. Bahan-bahannya memang selalu yang diguna pakai di rumah. Malah boleh berjimat dengan memasaknya sendiri. Boleh makan seberapa banyak kuantiti yang kita nak.

Nak cuba masak sendiri di rumah, boleh rujuk perkongsian yang diberikan oleh Sharla Rose ni. Step-step yang dikongsikan mudah je untuk diikuti dan jelas difahami. Apa yang menarik ialah ianya mudah diolah sendiri mengikut citarasa yang kita mahukan. Jom saya kongsikan.

 

SHELLOUT  KUAH SEDAP

Bahan-bahannya ada dalam tiga bahagian.

Bahan kisar:

  • 5 tangkai cili kering
  • Sedikit bawang putih
  • Belacan sikit
  • Sesudu besar udang kering

 

Bahan tumis:

  • ½ biji bawang holland
  • 6 biji bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 1 inci halia yang dihiris nipis
  • Daun kari
  • Buttercup atau planta

 

Bahan perasa:

  • Sos tiram atau sos seafood
  • Sos ikan
  • Pati ayam kiub
  • Serbuk rempah kari

Bahan perapan:

  • Seafood yang kita mahukan (seperti udang, sotong, ketam, dan lala)
  • Serbuk lada hitam
  • Kunyit sedikit

Bahan-bahan lain:

  • Lemon
  • Brokoli
  • Jagung

Cara penyediaan Shellout:

▶️ Sebelum mula memasak, cuci dulu semua seafood. Kemudian letak dalam 1 bekas untuk proses perapan. Masukkan serbuk lada hitam dan kunyit sedikit. Dan perap sekejap.

▶️ Semua seafood tadi akan direbus. Tujuan rebus ialah untuk jadikan ia half cook dan sekaligus mempercepatkan proses seafood tu masak bila dimasukkan ke dalam kuah nanti.

▶️ Nak rebus seafood pun ada caranya. Mula-mula letakkan periuk berisi air atas dapur dan dibiarkan mendidih. Kemudian masukkan ketam dahulu kerana proses masak ketam lebih lama berbanding seafood lain. Dah masukkan ketam, tutup periuk sekejap.

▶️ Selepas 5 minit, masukkan pula lala. Dan biarkan lagi selama 5 minit. Lepas tu tutup api.

▶️ Dalam air rebusan yang masih panas tadi, boleh celur sekejap udang dan sotong. Kedua-dua seafood ni paling sekejap untuk dimasak.

▶️ Setelah selesai merebus seafood, blend kesemua bahan kisar tadi iaitu cili kering, bawang putih, udang kering dan belacan. Yang ni ikut kepedasan yang kita mahu. Kalau nak lebih pedas boleh tambah cili kering. Kalau nak buat kuah lebih pun perlu juga tambahkan sikit bahan kisar ni. Olah ikut kesukaan sendiri.

▶️ Kemudian hiris bahan-bahan tumis iaitu bawang holland, bawang merah, bawang putih, dan halia.

Ready untuk masak kesemua bahan-bahan ni.

▶️ Mula-mula panaskan kuali kemudian masukkan buttercup atau planta. Campurkan sikit dengan minyak.

▶️ Dah panas, masukkan bahan tumis dan daun kari. Masak sehingga naik bau dan warna kekuningan.

BACA JUGA: Resepi Sambal Goreng Pengantin Padu! Pelbagai Lauk Dalam Satu Masakan!

▶️ Selepas tu masukkan bahan yang dah dikisar tadi. Bila dah layu dan masak, masukkan serbuk kari dalam 2 sudu besar. Campurkan sedikit air supaya tak kering sangat. Yang ni juga boleh diolah bergantung pada kuantiti seafood. Jika banyak seafoodnya, boleh tambah lagi kuantiti serbuk kari.

▶️ Selepas pecah minyak, boleh masukkan kesemua perasa yang lain iaitu sos tiram 2 sudu, sos ikan dan pati ayam kiub. Masa ni kalau nak lebihkan lagi kuah boleh tambahkan air. Garam tak perlu lagi ya sebab sos ikan dah cukup masin.

▶️ Kemudian masukkan brokoli dan jagung. Untuk kedua-dua ni, kalau ingin cepat masak boleh juga dicelur sekejap sebelum tu. Ikut pilihan sendiri.

▶️ Dan akhirnya sekali masukkan seafood yang dah direbus tadi. Disebabkan seafood dah half cook pada mulanya, dah tak perlu lagi dimasak lama. Dibalik-balikkan sahaja supaya kuah meresap dengan seafood. Kalau rasa kuah tu sikit bolehlah campur kan air sedikit. Tapi jangan terlalu banyak.

▶️ Gaulkan mesra kuah dan seafood sehingga nampak pekat dan meresap. Dan jika perlu, adjustkan sikit dengan menambahkan blackpepper kalau nak tambahkan lagi rasa. Kalau dah cukup rasa tu, dah boleh padamkan api.

Sedia untuk dihidang!

Jika dihidang untuk keluarga pada hujung minggu, menu ni betul-betul akan menaikkan selera. Boleh dikatakan shellout ni antara menu yang mewah juga. Lagi-lagi kalau sediakannya dengan seafood yang besar dan segar. Boleh makan sampai licin.

Makin banyak seafoodnya, makin mahal sikitlah belanjanya. Sebab tu hidangan shellout agak mahal kalau makan di kedai-kedai.

Tapi kalau dimasak sendiri di rumah mungkin lebih jimat sebab kita boleh buat sukatan sendiri yang kita nak. Tambahan lagi boleh jadi santapan beramai-ramai.

Pada yang teragak nak makan, bolehlah ikut resepi Shellout Sedap dan mudah ni. Resepi ni menjadi dan pasti sedap. Amat berbaloi dimasak sendiri. Jangan lupa cuba tau!

Leave A Reply

Your email address will not be published.