Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resepi Original Laksam Homemade Kuah Pekat Dan Padu. Sambal Lada Pedas Ni Jadi Pelengkap Hidangan!

0

Biasanya kalau disebut laksam ni familiar sebagai makanan orang Pantai Timur. Baik Kelantan atau pun Terengganu sangat mudah nak dapat dan wajib ada dijual laksam di mana-mana.

Tapi sekarang ni disebabkan perpindahan mereka ke luar negeri, dan semakin ramai juga yang belajar cara nak buat laksam. Jadi laksam ni dah mudah untuk dapat di setiap negeri kita.

Sedapnya laksam ni terletak pada kuahnya. Isi ikan yang digunakan, manisnya dan menjadinya kuah tu. Ditambah pula dengan sambal yang kita gaulkan sekali, rasa dia memang wow!

Nak buat laksam ni perlukan kerajinan sebab kita bukan hanya buat kuahnya sahaja seperti laksa, laksa nya dibeli. Tapi untuk laksam, laksamnya juga kita buat sendiri.

Jom saya kongsikan resepi daripada Cik Puan Tahrunnisah Jali ni yang share macam mana cara dia buat laksam dari mula sampai akhir.

 

RESEPI LAKSAM (12 GULUNG)

Bahan-bahan yang digunakan adalah :

  • 3 cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • sedikit garam
  • 4 ¾ cawan air suam
  • 3 sudu besar minyak masak

 

CARA PENYEDIAAN LAKSAM :

▶ Campurkan bahan-bahan di atas dalam bekas. Gaulkan sekata dan semua bahan sebati.

▶ Panaskan periuk kukus. Sediakan loyang atau penutup periuk aluminium yang disapu dengan minyak masak.

▶ Seterusnya, masukkan bancuhan tepung tadi dalam loyang atau tutup periuk. Ratakan jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis.

▶ Gunakan beberapa senduk sekiranya talam atau tutup periuk kita tu besar.

▶ Kukus lebih kurang 5 minit macam tu.

▶ Bila dah kering sepenuhnya, angkat dan lalukan sebentar bawah air paip.

▶ Cungkil laksam keluar dari loyang, dan gulung menjadi segulung laksam.

▶ Masukkan adunan dalam loyang lagi dan ulang sampai habis adunan.

Laksam dah siap, tibalah part penting untuk makan laksam iaitu bahagian kuahnya. Jom saya kongsikan bahan-bahan yang digunakan untuk buat kuah laksam ni.

 

KUAH LAKSAM (6 ORANG MAKAN)

Bahan- bahan yang digunakan adalah :

  • 3 ekor ikan kembung
  • 2 biji bawang sederhana besar
  • 2 ulas bawang putih
  • sedikit halia
  • ½ sudu besar lada hitam (ditumbuk halus)
  • sedikit belacan
  • ½ periuk santan pekat
  • garam dan gula
  • 2 keping asam gelugur

CARA PENYEDIAAN KUAH LAKSAM :

▶ Mula-mula bersihkan ikan kembung, buang perutnya dan rebus dengan air separas ikan. ▶ Ikan selesai direbus, keluarkan ikan dan airnya jangan dibuang.

▶ Asingkan isi ikan dengan tulangnya. Macam kita nak buat laksa tu.

▶ Seterusnya, kisar bawang besar, bawang putih, halia, belacan dan juga isi ikan tadi. Kisar sampai hancur.

▶ Untuk lebih sedap, waktu kisar gunakan air rebusan ikan tadi ye.

▶ Kemudian, dalam baki air rebusan ikan dalam periuk tadi, masukkan santan dan juga bahan kisar. Masak sehingga semuanya sekata dan sebati. Biarkan mendidih.

▶ Masukkan lada hitam, asam keping dan juga perasakan dengan garam dan gula.

▶ Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.

▶ Sebelum tutup api, rasa dulu. Jika lengkap rasanya, boleh lah padamkan api.

Kalau makan laksa sudah pasti ada telurnya, salad, timun serta bawangnya kan? Tapi untuk laksam ni kita menggunakan ulam-ulaman sebagai bahan tambahan. Jangan risau, sedap!

BAHAN TAMBAHAN

  • Kacang Panjang
  • Timun
  • Taugeh
  • Kobis
  • Belacan bakar

 

CARA PENYEDIAAN :

▶ Kacang Panjang dipotong bulat kecil-kecil sahaja

▶ Timun dipotong halus memanjang

▶ Taugeh dibasuh bersih. Makan rangup-rangup memang sedap!

▶ Kobis dipotong racik halus.

▶ Bakar sedikit belacan, dan masukkan sekali sebagai penambah rasa.

BACA JUGA: Nak Buat Kuah Soto Dan Sambal Kicap Power! Resepi Simple Ni Betul- Betul Membantu!

Maklum kita ketahui, laksam ni makanan yang kuahnya tidak pedas kerana tidak menggunakan apa-apa cili pun. Jadi, untuk anak-anak memang sesuai sangat dihidangkan dengan laksam ni.

Bagi yang suka pedas, jangan risau. Setiap laksam ada sambalnya yang sedap dan padu. Saya kongsikan bahan-bahannya ye.

 

RESEPI SAMBAL LADA

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

  • Sedikit belacan
  • 1 biji lada merah
  • 3 biji cili padi merah
  • Sedikit garam

 

CARA PENYEDIAAN SAMBAL LADA :

▶ Tumbuk sampai lumat semua bahan-bahan ni. Tak perlu kisar sebab kita taknak ianya berair.

▶ Bila dah lumat, masukkan ke dalam mangkuk. Dan sedia untuk dimakan bersama laksam!

Mudah kan nak buat laksam ni? Dari cara nak buat laksamnya, sehingga sambalnya lengkap dikongsikan step by step. Selama ini memang akan beli je kalau nak makan sebab tak pandai.

Tapi alhamdulillah berjaya belajar juga cara nak buat laksam yang sedap ni. Tak perlu lagi ke Negeri Pantai Timur nak rasa yang original laksam. InsyaAllah dari dapur rumah kita sendiri dah boleh dapat.

Bolehlah kongsikan di ruangan facebook masing-masing dulu untuk simpan perkongsian ini. Mudah kita nak rujuk bila nak buat satu hari nanti.

Jadi, untuk yang baru nak mencuba harap perkongsian ini bermanfaat kepada anda semua. Saya ucapkan Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.