Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resepi Nasi Minyak Dan Gulai Terengganu Sedap, Rasa Kuah Gulai Yang Original Dan Padu!

0

Pernah tak makan nasi minyak Terengganu ori dan masakan gulainya? Boleh dikatakan famous juga menu masakan ni kalau sebut sahaja tentang masakan negeri Pantai Timur ni. Resepi nasi minyak dan gulai Terengganu ni antara yang paling senang untuk dimasak.

Kalau pernah dengar tentang masakan gulai, mungkin ada antara kita tak tau yang di Terengganu memang terkenal dengan rempahnya sendiri untuk masak gulai ayam, daging, ikan, kambing dan sebagainya. Namanya dikenali sebagai Rempah Cap Bunga Rose.

Kalau di negeri lain, mungkin tak semua tempat ada jual rempah ni. Sesetengah orang bila tak jumpa je rempah ni akan gantikan dengan rempah kari biasa. Lebih kurang sama dan sepadan juga kalau dimakan bersama nasi minyak.

Kali ni saya nak kongsikan resepi nasi minyak Terengganu dan gulainya yang sedap yang sangat mudah untuk disediakan. Boleh dijadikan menu masakan istimewa pada hujung minggu. Resepi ni dikongi oleh Azila Ismail.

Jom kita tengok cara masakannya.

 

RESEPI NASI MINYAK DAN GULAI TERENGGANU ISTIMEWA

Bahan-bahan yang diperlukan untuk nasi minyak:

  • 3 pot beras Basmathi (sebelum masak, rendam dulu selama 1 jam)
  • Marjerin 2 sudu besar
  • 4 sekawan (bunga cengkih, buah pelaga, bunga lawang, dan kulit kayu manis)
  • Halia seinci
  • Bawang besar sebiji
  • Air 3 setengah cawan (guna cawan plastik ikea)
  • Susu pekat 1 sudu besar
  • Sos tomato 2 sudu besar
  • Garam sedikit
  • Daun pandan

Cara memasak nasi minyak Terengganu:

▶️ Mula-mula panaskan periuk nasi atas api untuk menumis.

▶️ Masukkan marjerin dan biarkan sehingga cair.

▶️ Kemudian tumis 4 sekawan, halia, bawang dan daun pandan.

▶️ Setelah dah naik bau wangi dan warna keperangan, masukkan beras. Kacau sehingga sebati.

▶️ Selepas tu masukkan air, susu pekat dan sos tomato. Perasakan dengan sedikit garam.

▶️ Kacau lagi sehingga sekata, kemudian masak nasi seperti biasa.

▶️ Bagi yang ingin gunakan periuk noxxa, boleh gunakan mode steam selama 8 minit.

▶️ Dah siap nasi minyaknya.

Bahan-bahan untuk masakan gulai Terengganu:

  • 1 ekor ayam atau 1 kilo daging (daging perlu direbus empuk dahulu)
  • Bawang besar 2 biji
  • Halia seinci
  • Rempah masak bunga ros 1 sudu besar
  • Rempah gulai bunga ros 3 sudu besar
  • Sos tomato 4 sudu besar
  • Bawang goreng 10 ulas
  • 4 sekawan (bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis)
  • Nissan 1  keping atau bergantung pada size (bahan manisan terkenal di Terengganu. Atau boleh juga digantikan dengan gula melaka)
  • Ubi kentang
  • Air
  • Garam secukup rasa

Cara memasak gulai Terengganu:

▶️ Mula-mula kisar 2 biji bawang besar dan dan seinci halia kemudian tapis. Ketepikan.

▶️ Gaulkan rempah masak bunga ros dan rempah gulai bunga ros bersama dengan sos tomato dan bawang goreng. Gaul kesemuanya sehingga sekata.

▶️ Selepas tu masukkan ayam atau daging ke dalam campuran rempah tadi dan gaul sebati. Ketepikan.

▶️ Panaskan minyak dan tumis 4 sekawan.

▶️ Masukkan bahan-bahan yang dah dikisar tadi.

▶️ Setelah naik bau wangi dan warna menjadi kekuningan, masukkan ayam atau daging yang dah digaulkan dengan rempah tadi.

BACA JUGA: Cara Buat Asam Pedas Ikan Pari Follow Resepi Original Melaka. Rasanya Memang Padu!

▶️ Masukkan ubi kentang dan Nissan yang dah dicairkan.

▶️ Kemudian masukkan air dan perasakan dengan garam.

▶️ Masak sehingga ayam atau daging dan kentang empuk.

▶️ Kalau masak dengan noxxa untuk gulai daging tu, boleh gunakan mode HP 40 minit. Kemudian di hujung-hujung masukkan kentang dan tambah lagi waktu selama 10 minit.

▶️ Dah siap masakan gulai Terengganu.

Kalau rindukan nasi minyak dan masakan gulai atau kari kenduri, bolehlah masaknya sendiri sebab resepi ni amat mudah diikuti. Nak lagi sedap, boleh buat jelatah timun sendiri dan gorengkan sekali popodom sebagai pelengkap hidangan sama macam kenduri.

Gulai Terengganu ni boleh dikatakan famous dan istimewa sebab tidak bersantan dan rasanya betul-betul mengancam. Kelazatan kari tu memang bertambah terasa.

Kalau tak biasa makan gulai Terengganu, sekurang-kurangnya boleh cuba memasaknya sekali. Mungkin susah nak dapatkan rempah bunga ros tu di kedai-kedai biasa. Tapi ramai yang dah cuba dapatkannya dengan cara belian online.

Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.