Musim Pkp ni rasa rindu pulak nak makan kenduri. Kalau makan kenduri ni tak sah kalau tak ambil nasi minyak lengkap dengan ayam masak merah, lauk kurma dan jelatah kan. Penuh 1 pinggan. Rugi kalau makan nasi putih biasa je!
Perasan tak kalau kita makan kenduri, selera makan tu lain macam. Terasa nikmat sangat untuk setiap suapan nasi minyak dan lauk yang kita makan. Yelah, makanan yang jarang dapat kan kalau bukan hanya kat rumah kenduri je.
Bila dah duduk rumah waktu hujung minggu tu, apa kata jom masak special sikit untuk keluarga iaitu nasi minyak lengkap dengan lauk ala kenduri. Boleh ikut resepi nasi minyak ayam masak merah kenduri yang dikongsikan oleh Hidayati Hana ni.
Bukan te je, siap dengan resepi kurma ayam dan jelatah! Masak je mana-mana lauk yang ada suka. Kalau dapat sediakan semua, memang seronoklah ahli keluarga menjamu selera macam kat rumah kenduri sedangkan makan di rumah je.
Mana tau belajar buat sekali terus menjadi. Nanti boleh dihidangkan untuk tetamu bertandang ke rumah pula. Jom tengok setiap satu resepi yang dikongsikan.
RESEPI NASI MINYAK AYAM MASAK MERAH KENDURI
Nasi minyak ni yang sedapnya ialah aroma rempah yang ada di dalamnya. Bau wangi dan rasa dia tu lah yang menaikkan lagi selera tiap kali dimakan bersama lauk ayam masak merah dan lain-lain lagi. Sebaiknya dihidangkan lengkap dengan jelatah dan papadom kalau nak rasa nikmat yang sebenar.
Bahan-bahan untuk nasi minyak:
- Beras basmathi 3 cawan
- Bawang besar 1 biji
- Bawang putih 5 ulas
- Halia 1 inci
- 3 sekawan – kulit kayu manis, bunga lawang 1 biji, bji pelaga 2 biji
- Mentega atau minyak masak 2 sudu besar
- Kiub pati ayam 1
- Susu cair ½ cawan
- Daun pandan 2 helai
- Bawang goreng hiasan
Cara masak nasi minyak:
▶️ Mula-mula cuci beras dan rendam dulu dalam 30 minit. Selepas tu toskan.
▶️ Kemudian kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
▶️ Panaskan mentega atau minyak masak dalam kuali dan masukkan bahan yang dah dikisar tadi.
▶️ Seterusnya masukkan 3 sekawan dan daun pandan.
▶️ Kacau sehingga bawang dah garing dan naik baunya, kemudian masukkan susu cair, air, tiub pati ayam dan garam secukupnya. Kacau sehingga sebati.
▶️ Masukkan beras yang dah ditos tadi ke dalam periuk nasi.
▶️ Kemudian tuangkan bahan rempah yang dimasak tadi ke dalam periuk nasi dan kacau sehingga air dan beras digaul sekata.
▶️ Masak nasi seperti biasa.
▶️ Selepas nasi dah masak, tunggu dulu dalam 5 minit baru boleh mula gembur-gemburkan untuk elakkan nasi patah. Gunakan garfu.
▶️ Akhir sekali taburkan bawang goreng. Dah siap nasi minyak.
Bahan-bahan untuk ayam masak merah:
- Ayam ½ ekor
- Cili kisar 2 cawan
- Bawang besar 1 biji
- Bawang putih 4 ulas
- Halia 1 inci
- Bawang merah 4 ulas yang dihiris halus
- 3 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang dan biji pelaga)
- Sos cili 2 sudu besar
- Sos tiram 1 sudu besar
- Sos tomato 1 sudu besar
- Air 1 cawan
- Garam dan gula secukupnya
- Daun bawang atau daun ketumbar sebagai hiasan
Cara buat ayam masak merah:
▶️ Cuci ayam bersih-bersih kemudian gaulkan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng seperti biasa.
▶️ Selepas tu, dengan gunakan minyak masak goreng ayam tadi, goreng sekejap bawang merah yang dihiris halus. Angkat dan ketepikan.
▶️ Seterusnya kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
▶️ Tumis bahan yang dah dikisar ni dan masukkan sekali 3 sekawan. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Bila dah naik bau, masukkan cili kisar dan terus tumis sehingga cili garing.
▶️ Masukkan pula sos cili, sos tomato dan sos tiram.
▶️ Masukkan juga air dan perasakan dengan garam dan gula.
▶️ Kacau lagi sehingga mendidih dan masukkan ayam yang dah siap digoreng tadi.
▶️ Kacau ayam sehingga sekata dan taburkan bawang merah yang dah digoreng awal-awal tadi. Dah boleh tutup api.
▶️ Akhir sekali hiaskan dengan daun bawang atau ketumbar.
▶️ Siap lauk ayam masak merah!
Seterusnya saya kongsikan pula lauk ayam kurma versi kenduri.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam beberapa ketul ikut kita suka (dipotong kecil)
- Kentang 2 biji
- Lobak merah 1 biji
- Tomato 1 biji
- Santan ½ kotak
- Rempah kurma 1 paket
- Gula dan garam secukup rasa
- Air secukupnya
- Minyak untuk menumis
- Bunga lawang 1 biji dan sedikit kulit kayu manis
- Bawang merah 5 biji
- Bawang putih 3 ulas
- Halia ½ inci
Cara buat ayam masak kurma:
▶️ Mula-mula hiris halus bawang merah, bawang putih dan halia.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali kemudian tumis bahan yang dah dihiris tadi, bunga lawang dan kayu manis sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan rempah kurma ayam dan sedikit air.
▶️ Masak sampai naik minyak.
▶️ Seterusnya masukkan pula ayam, kentang dan lobak merah.
▶️ Dan masukkan santan dan sedikit air.
▶️Kacau dan biarkan mendidih sampai ayam dan kentang empuk.
▶️ Selepas tu masukkan garam secukup rasa.
▶️ Renyehkan kuah lagi sampai sedikit pekat untuk lagi sedap.
▶️ Dah siap boleh tutup api.
▶️ Pada yang suka, boleh masukan sekali lada merah dan lada hijau di akhir-akhirnya.
Bahan-bahan untuk jelatah (acar mentah):
- Timun sebiji
- Lobak merah sebiji
- Cili merah 1 biji
- Bawang merah 2 biji
- Cuka makan sikit
- Garam dan gula secukup rasa
Cara buat jelatah:
▶️ Potong timun, lobak merah, cili merah, dan bawang merah ikut saiz yang ada suka. Sebaiknya potong halus dan memanjang.
▶️ Kemudian gaulkan kesemuanya dengan cuka makan, gula dan garam.
▶️ Dah siap jelatah!
▶️ Dah boleh dihidangkan bersama dengan nasi minyak dan lauk-lauk lain!
Wahh, tengok je pun nak bikin kita terliur. Dari nasi, lauk ayam masak merah, kurma ayam dan jelatah semua lauknya on point! Memang nampak sedap terhidang macam kat kenduri!
Memanglah rasa pecah peluh sikit di dapur bertungkus lumut masak resepi nasi minyak ayam masak merah kenduri dan lauk lain lagi. Tapi rasa berbaloi kan lepas dah berjaya siapkan hidangan menu special untuk keluarga.
Oh ya, nanti hidangkan siap-siap dengan minuman air sirap pulak. Fuhh, lengkaplah juadah kenduri kita di rumah. Pada yang nak mencuba, bolehlah ikut resepi ni. Tapi sebelum tu jangan lupa save atau share kan resepi ni di Facebook anda dulu. Nanti boleh rujuk semula bila nak masaknya.
Selamat mencuba!