Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resepi Kerutuk Ayam Pencen Kelantan. Resepi Asli Yang Sedap Dan Padu! Semua Wajib Cuba!

0

Dengar je masakan kerutuk, terus teringat resepi asal dari Kelantan kan. Bagi yang berada jauh dari negeri ni, terliur pula rasanya sebab fikirkan jauh sangat nak makan kerutuk yang asal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ni.

Apa yang membuatkan kerutuk ni istimewa sangat di sana ialah rasanya yang cukup memikat sebab ada rempahnya yang tersendiri.

Kalau anda jenis suka masakan pekat dan penuh dengan aroma rempah, wajib cuba masakan ni. Boleh makan nasi bertambah-tambah kalau dihidangkan lauk kerutuk yang enak ni.

Kali ni saya nak kongsikan resepi kerutuk ayam pencen Kelantan yang betul-betul resepi asalnya.

Orang kata hidangan istimewa dari sesebuah negeri tu confirm sedap kalau kita betul-betul gunakan bahan asli yang berasal dari negerinya. Itulah rahsianya kalau nak kan hidangan asli yang sedap!

Resepi yang ingin dikongsikan ni ialah dari Cikgu Afy Al Habibi. Memang meletop sebab ada rahsia bahannya yang tersendiri untuk dapatkan kuah yang pekat dan lebih wangi. Nanti sama-sama kita bongkarkan!

Perkongsian resepinya juga memang detail dan mudah untuk difahami. Jadi senanglah untuk kita ikut.

 

RESEPI KERUTUK AYAM PENCEN KELANTAN

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Ayam pencen setengah ekor (dicuci dulu dan dibuang bulu. Tak perlu buang kulit)

Bahan kisar:

  • Bawang besar 5 biji (yang bersaiz 20 sen)
  • Bawang putih 1 ulas
  • Halia sehiris nipis
  • Lengkuas juga sehiris nipis
  • Serai yang dipotong nipis dalam 2 ke 3 hiris bulat (bukan sebatang)
  • Campuran rempah ketumbar dan jintan manis dalam ½ sudu kecil

Bahan-bahan lain:

  • 3 sekawan iaitu bunga lawang, kulit kayu manis dan biji pelaga
  • Rempah kerutuk asli Kelantan 2 ½ sudu besar (rempah timbang di sana)
  • Serai sebatang sederhana besar
  • Nisse sekeping saiz kecil (atau boleh juga gunakan gula Melaka dalam 2 sudu)
  • Kicap pekat Jalen ½ senduk kecil
  • Santan kotak dengan kuantiti ¾ dari santan kotak 250ml
  • Garam bukit
  • Perencah cukup rasa 1 sudu kecil (cikgu Afy gunakan brand Hilal)
  • Gula 1 sudu besar
  • Kerisik 1 sudu kecil
  • Telur beberapa biji (sebagai gandingan ayam dalam kuahnya nanti)
  • Air

Cara Masak Kerutuk Ayam Pencen Kelantan:

▶️ Mula-mula panaskan sedikit minyak dan tumiskan 3 sekawan.

▶️ Setelah dah naik bau, masukkan bahan-bahan kisar tadi. Tumis sehingga naik bau dan warna bertukar keperangan.

▶️ Kemudian masukkan rempah kerutuk khas dari Kelantan. Rempah asli ni memang terkenal di sana dan boleh didapati di pasar terkenal seperti Pasar Siti Khadijah dan sebagainya.

▶️ Masuk je rempah kerutuk asli ni, akan ada aroma baunya yang tersendiri. Terus tumis selama 2 minit dengan api yang perlahan sehingga sedikit garing. Tak perlu tambahkan air waktu ni.

▶️ Bila dah kelihatan garing sedikit, barulah masukkan sedikit air.

▶️ Biarkan lebih kurang dalam 10 minit dengan api yang perlahan. Biarkannya sehingga pecah minyak.

▶️ Seterusnya masukkan sebatang serai yang dah diketuk. Serai inilah tips untuk dapatkan aroma yang wangi di dalam masakan kerutuk.

▶️ Selain tu masukkan juga nisse, garam bukit 1 sudu kecil dan serbuk perencah sukup rasa dalam 1 sudu kecil juga. Kacau sehingga sebati.

▶️ Kemudian susunkan ayam pencen ke dalam kuah. Masukkan sekali segelas air kosong dan balik-balikkan ayamnya.

BACA JUGA: Resepi Nasi Minyak Dan Gulai Terengganu Sedap, Rasa Kuah Gulai Yang Original Dan Padu!

▶️ Selepas tu, perlu lakukan proses mereneh untuk pastikan ayam pencen masak dan empuk. Ayam pencen ni perlukan masa yang agak lama untuk dilembutkan.

▶️ Jadi, renehkan ia dalam 1 tempoh masa. Bagi resepi cikgu ni, proses mereneh baginya mengambil masa dalam 3 jam baru ayam pencennya empuk. Dalam tempoh tu, 2-3 gelas juga air yang dimasukkan.

▶️ Selepas ayam dah empuk, masukkan kicap pekat Jalen. Ini bertujuan untuk mendapatkan kuah yang cantik pekat. Rasanya juga sedap.

▶️ Kemudian masukkan ¾ santan kotak tadi. Dalam masa yang sama masukkan juga 1 cawan air. Tetapi perlu tengok juga. Kalau selepas proses mereneh tadi kuahnya masih banyak lagi, boleh kurangkan penambahan air.

▶️ Dah agak mendidih masukkan sesudu gula dan 1 atau 1 setengah lagi garam bukit. Terpulang juga nak letak berapa ikut rasa masing-masing.

▶️ Kemudian sambung sekali mereneh dalam 5-10 minit dan terus kacau.

▶️ Tips yang terakhir ialah penambahan kerisik dalam 1 sudu kecil. Bila ditambah kerisik ni, lagi bertambah rasa sedap dan berlemak kuahnya.

▶️ Akhir sekali masukkan telur rebus yang dah digoreng. Bermaksud, telur ni direbus dahulu. Kemudian dibuang kulitnya dan digoreng.

▶️ Selepas dah masukkan telur, tutup api.

▶️ Dah siap hidangan kerutuk ayam pencen original resepi dari Kelantan ni!

Resepinya memang agak panjang dan lama juga penyediaanya, tapi sekali dah rasa pasti jatuh cinta. Kerutuk ni gulai yang memang kaya dengan bahan, namun itulah yang membuatkan rasanya lebih padu!

Kalau dimakan dengan nasi panas atau hidangan nasi berperisa, memang lagi bertambah enaklah rasanya.

Eloklah kalau disimpan resepi kerutuk ayam pencen Kelantan ni dan dimasak nanti untuk hidangan keluarga dan tetamu yang bertandang ke rumah. Barulah nampak istimewa.

Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.