Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Cara Buat Nasi Kerabu Biru Tanpa Bunga Telang. Resepi Sedap Original Kelantan!

0

Bagi penggemar Nasi Kerabu mesti suka bila tahu cara nak buat nasi kerabu yang sedap dan padu kan. Kita tahu, makanan Kelantan ni, dah semakain ramai yang pandai buat dan dijual di seluruh negeri.

Akan tetapi, tak semua boleh buat nasi kerabu yang sedap yang cukup rasa dan awasnya. Ada yang sekadar cukup syarat warna birunya, ada yang ulamnya tidak lengkap. Ada juga yang tidak menggunakan budu. Tak king lah kata orang!

Tapi saya faham bukan mudah nak jumpa bunga telang untuk birukan nasi tu kan. Terpaksa gunakan pewarna tapi dapat ala- ala nasi kerabu pior Kelantan pun dah cun. Yang penting rasa dia kena tip top!

Saya tertarik dengan perkongsian daripada rakan facebook kita ni Cik Puan Tahrunnisah Jali yang kongsikan macam mana beliau buat nasi kerabu yang mudah dan sedap untuk family. Simple je cara nak buat.

Tapi jangan risau sebab perkongsian ini detail dan lengkap dengan cara nak sediakan kelapa, nak buat sambal tumis dan juga ulam- ulaman yang digunakan. Berbaloi untuk kita belajar. Jom saya kongsikan cara- caranya!

 

RESEPI NASI KERABU BIRU

Bahan- bahan yang diperlukan adalah :

UNTUK BAHAGIAN NASI :

  • 3 cawan beras
  • Sedikit pewarna biru (jika ada bunga telang, rendam sekejap dan ambik airnya)
  • 4 helai daun limau purut (diramas)
  • 1 batang serai (dititik)
  • Sedikit garam
  • Air secukupnya

CARA PENYEDIAAN NASI :

▶ Basuh beras bersih- bersih kemudian isi sukatan air sebagaimana biasa kita masak nasi.  Jika gunakan air bunga telang, masukkan air bunga dulu dan tambah dengan air paip seperti biasa.

▶ Kemudian, masukkan limau purut, serai dan juga garam.

▶ Masak seperti biasa menggunakan rice cooker.

Sementara nasi masak, jom kita sediakan bahan- bahan lain untuk dimakan bersama nasi kerabu. Antara yang wajib ada dalam hidangan nasi kerabu ni ialah sambal tumis.

Sebaiknya sambal tumis dibuat lebih awal. Contohnya jika nak makan tengah hari nanti, sambal ni sebaiknya buat malam semalam. Lagi sedap sebab rasa dah sebati.

 

RESEPI SAMBAL TUMIS

Bahan- bahan yang diperlukan adalah :

  • Kunyit hidup @ kunyit serbuk
  • 1 batang serai (dititik)
  • Budu
  • Garam dan gula
  • Belacan
  • Santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • ½ cawan minyak masak

 

BAHAN KISAR :

  • 4 biji bawang besar atau pun 20 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 genggam lada kering ( direbus dan buang bijinya)
  • Sedikit halia

BACA JUGA: Nak Buat Nasi Beriani Yang Simple Tapi Sedap Giler! Masak Pakai Rice Cooker Semua Boleh Cuba!

CARA PENYEDIAAN SAMBAL TUMIS

▶ Mula- mula kisar bahan kisar sehingga hancur. Gunakan sedikit air sahaja.

▶ Kemudian panaskan kuali, dan sedikit minyak.

▶ Minyak dah panas, masukkan bahan kisar.

▶ Tumis bahan kisar dan masak sehingga pecah minyak.

▶ Kemudian, masukkan serai, budu, belacan dan juga bahan perasa iaitu garam dan gula.

▶ Biarkan bahan masak dan sedikit garing.

▶ Seterusnya, masukkan santan pekat dengan sedikit air asam jawa.

▶ Masak sehingga jadi pekat. Jika suka cair, masak sehingga mendidih sahaja.

Sambal tumis dah siap, kita boleh siapkan sambal ikan dan kelapa pula. Ini kalau makan dikedai selalu minta extra! Sebab rasa dia memang sedap.

 

RESEPI SAMBAL IKAN DAN KELAPA

Bahan -bahan yang digunakan adalah :

  • 3 ekor ikan kembung
  • Sedikit halia
  • 1 cawan santan (ditumbuk halus)
  • Garam dan gula
  • 1 cawan kelapa parut ( jika suka boleh lebihkan)

 

BAHAN KISAR :

  • 2 biji bawang besar ( sederhana besar)
  • 2 ulas bawang putih

CARA PENYEDIAAN SAMBAL IKAN DAN KELAPA :

▶ Mula- mula sekali, sangai kelapa parut dalam kuali menggunakan api yang perlahan. Pastikan sentiasa kacau sehingga kelapa jadi kekuningan.

▶ Ikan kembung dibuang perut dibersihkan dan direbus.  Air rebusan ikan jangan dibuang dulu tau. Pipih ikan kembung tadi, asingkan tulang dengan isinya

▶ Kisar bawang besar dan bawang putih sehingga hancur dan masukkan isi ikan tadi. Kisar lagi sehingga isi ikan sebati. Jika mesin blender ketat, tambah air rebusan ikan tadi sedikit.

▶ Kemudian, panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga garing. Masukkan santan, lada hitam, garam dan gula.

▶ Masak sehingga kering. Bila rasa dah okay, masukkan kelapa yang kita sangai awal- awal tadi. Kacau sebati semua adunan. Dan sedia untuk dihidang!

Nak makan nasi kerabu ni ada macam- macam jenis sebenarnya. Ada yang akan sediakan telur masin, ikan goreng, ayam goreng, atau pun solok lada. Biasanya wajib ada telur masin dan solok lada sementara lauk lain adalah pilihan kita.

Jom saya kongsikan cara nak buat solok lada yang sedap!

 

RESEPI SOLOK LADA

Bahan- bahan yang digunakan adalah :

  • 2 ekor ikan kembung
  • Lada hijau
  • ½ biji bawang besar
  • Sedikit lada hitam (lebih kurang ½ sudu besar)
  • Sedikit kelapa parut
  • Garam dan gula

CARA PENYEDIAAN SOLOK LADA :

▶ Bersihkan ikan, dan keluarkan isinya sahaja. Boleh parut menggunakan sudu.

▶ Tumbuk bawang besar, lada hitam dan juga kelapa parut.  Masukkan isi ikan dan tumbuk lagi.

▶ Kemudian tambah sedikit garam dan gula. Tumbuk pastikan isi ikan hancur dans ebati dengan kelapa parut dan bahan lain.

▶ Cili hijau belah bahagian tengah dan keluarkan biji nya.

▶ Isi semua bahan yang kita tumbuk tadi ke dalam perut cili hijau kita.

▶ Kemudian kukus selama 10 minit.

Ini adalah cara yang cepat untuk membuat solok lada. Ada yang kongsikan dimasak pula dengan sedikit santan untuk memberikan rasa lemak yang sedap pada isi solok lada.

Nasi dah ada, sambal tumis dah siap, sambal ikan dan kelapa dah lengkap, solok lada dah ada, akhir sekali jom saya kongsikan resepi nak buat sambal cuka.

Sambal cuka ni pasangannya dengan budu, tapi disebabkan budu saya nak masukkan dalam sambal tumus, jadi saya tak buat budu asing.

 

RESEPI SAMBAL CUKA

Bahan-bahan yang digunakan adalah :

  • Cili padi
  • Lada merah
  • Cuka
  • Garam dan Gula
  • 1 ulas bawang putih (bakar sekejap)

 

CARA PENYEDIAAN SAMBAL CUKA

▶ Mudah sahaja, kisar semua bahan tersebut. Jangan terlalu hancur.

▶ Boleh masak sekejap sehingag mendidih. Atau boleh dimakan begitu sahaja

Sambal cuka ni agak pedas, jika sambal tumis tak cukup pedas, boleh tambak dengan sambal cuka ketika makan nasi kerabu ni ye.

CARA HIDANGAN NASI KERABU :

  • Nasi 1 mangkuk
  • Solok lada
  • Sambal ikan dan kelapa
  • Sambal tumis
  • Sambal cuka
  • Kobis, kacang Panjang, timun @ taugeh @ ulam raja
  • Keropok goreng
  • Daging bakar atau ayam bakar

 

Dapatlah satu hidangan lengkap Nasi Kerabu yang sedap! Terpulang kepada kita andai ada bahan yang kita tak ada. Hidangkan seadanya sahaja. Itupun dah cukup berselera bila kita buat sendiri ni.

Dapat makan nasi kerabu dengan ayam bakar, memang sedap. Dapat pulak yang berselera dengan tekak kita, silap-silap boleh menambah dibuatnya.

Resepi nasi kerabu sedap ori Kelantan ni dah ada, bolehlah buat lepas ni untuk hidangan satu keluarga. Selamat mencuba ye!

Leave A Reply

Your email address will not be published.