Talam ubi kayu ni antara kuih tradisi Melayu yang memang sedap dan tak lapuk di zaman. Generasi sekarang ni pun masih lagi layan kuih tradisional ni. Sebab rasanya dah cukup enak dengan rasa lemak dan manisnya.
Selalunya yang betul-betul mahir buat kuih ni mesti tok nenek kita di kampung kan. Orang-orang muda yang belum pernah cuba untuk membuatnya selalunya rasa tak yakin untuk cuba sendiri sebab fikirkan ianya sukar untuk dibuat.
Hakikatnya kuih tradisional ni mudah je untuk dipelajari. Malah lebih senang untuk dibuat berbanding kuih atau pemanis mulut moden yang ada zaman ni. Nak dapatkan ubi kayu pun bukan setakat di kampung sahaja. Di pasaraya pun boleh juga didapati.
Bahan-bahan penyediaanya sangat mudah. Seperti yang dikongsikan oleh Nora Zi ni, dapat dilihat cara untuk membuatnya pun senang dan mudah untuk diikuti. Jom tengok resepinya.
KUIH TALAM UBI KAYU
Untuk lapisan bawah:
Senarai bahannya:
- Ubi kayu 3 setengah cawan
- Santan 1 setengah cawan
- Gula merah secawan
- Gula pasir setengah cawan
- Garam halus 1 sudu kecil
- Air setengah cawan
- Daun pandan sehelai
CARA PENYEDIAAN TALAM UBI KAYU:
▶️ Mula-mula parut atau kisarkan ubi kayu
▶️ Kemudian perah ibu kayu tu dengan kain atau tuala kecil yang bersih. Semasa perah tu tadahkan dengan mangkuk atau besen untuk ambil balik nanti sagunya yang mendap ke bawah. Lepas perahan, ubi kayu tu akan nampak kering sedikit.
▶️ Tujuan perah ubi kayu ni untuk membuang air pahitnya.
▶️ Selepas tu panaskan periuk dan masukkan setengah cawan air tadi. Masakkan sekali dengan gula pasir, gula merah, garam dan daun pandan yang disimpul. Masak ia sehingga mendidih atau gula cair sepenuhnya.
▶️ Sesudah tu padamkan api dan tunggu jadi suam seketika.
▶️ Selepas dah suam, masukkan ke dalam mangkuk yang berisi ubi kayu yang dah diperah. Jangan lupa tapis air gula ni semasa menuang. Waktu ni boleh masukkan sekali air sagunya tadi.
▶️ Kacau sedikit dan kemudian masukkan santan. Terus kacau hingga sebati.
▶️ Dan akhir sekali sediakan loyang yang dah siap disapu minyak. Masukkan air ubi dan santan tadi dan sapukan dengan senduk di permukaannya supaya rata. Untuk sukatan ni sesuai gunakan loyang 10 inci / 24 cm.
▶️ Kukus dalam 25 minit.
BAHAGIAN LAPISAN ATAS
Bahan-bahannya:
- Tepung gandum 1 setengah cawan
- Tepung ubi kayu 2 sudu besar
- Santan pekat 3 setengah cawan
- Garam halus 1 setengah sudu kecil
CARA PENYEDIAAN:
▶️ Masukkan kesemua bahan-bahannya ke dalam satu mangkuk. Jangan berhenti mengacau untuk elakkan adunannya berketul-ketul.
▶️ Selepas tu masukkan ke dalam adunan ubi kayu yang sedang dikukus tadi. Tuangkan perlahan-lahan supaya adunan cantik sekata.
▶️ Kemudian sambung mengukus selama 30 minit lagi atau sehingga ianya masak.
BACA JUGA: Cara Simple Buat Cakoi Yang Sedap Dan Lembut Walaupun Sejuk! Sos Manis Pandan Yang Awesome!
▶️ Setelah 30 minit, boleh buka penutup loyang. Lihat sama ada terdapatnya wap air atas permukaan kuih. Sekiranya ada, sengetkan sedikit loyang untuk keluarkan air tu.
▶️ Untuk lebih cantik kuih tu dan nak pastikan lambat basi, biarkan kuih terus dikukus lagi selama 5 minit tanpa penutup.
▶️ Dan akhir sekali keluarkan dari loyang untuk dipotong. Tapi pastikan kuih tu sejuk dahulu baru dipotong untuk dapatkan hasil yang cantik. Jangan lupa gunakan pisau plastik yang disapukan minyak sedikit untuk elakkan melekat-lekat.
Dah siap untuk dijamah!
Tips:
Tak banyak pun tips yang ada untuk hasilkan kuih talam ubi ni, namun amat perlu dititik beratkan untuk dapatkan kuih yang cantik!
Semasa mengukus tu, pastikan penutup loyang dibalut dengan kain untuk pastikan air tidak menitik ke permukaan kuih.
Tapi sekiranya penutup loyang tu jenis kaca, tak perlu lagi dibalut dengan kain. Hanya sengetkan sahaja loyang tu untuk buangkan air di permukaan kuih. Barulah kuih tu dikukus cantik.
Selebihnya, hanya ikut sahaja cara membuatnya step by step seperti yang dikongsikan. Pasti menjadi!
Mudah kan untuk membuatnya. Kalau selepas ni ingin menjamah keluarga atau tetamu, bolehlah buat kuih ni dan jadikan satu hidangan pemanis mulut. Follow je resepi talam ubi kayu sedap ni.
Bagi sesetengah orang, hidangan kuih tradisional ni lagi melekat di hati berbanding dessert-dessert moden yang ada.
Tak perlu lagi beli di kedai. Buat sendiri sahaja dah boleh hasilkan kuih seloyang yang boleh dijamah beramai-ramai.
Jangan lupa cuba!