Pada yang suka makan sotong, pernah tak makan lauk sotong sumbat telur? Lagi-lagi buat masak merah. Fuuhh, terangkat rasa dia. Selalunya sotong ni kita masak sambal, gulai lemak, celup tepung dan sebagainya. Tapi jarang dengar orang try resepi sotong sumbat telur masak merah kan.
Sebab apa layan je kalau makan sotong sumbat ni? Yelah, sotong ni kan rasa dia kenyal-kenyal, bila digigit yang ada isi, memang sedap dan nikmat sangat. Sesekali ubah selera dari makan masakan sotong yang sama je, apa salahnya kan.
Resepi sotong sumbat ni ada pelbagai cara orang buat. Ada yang buat style bakar, ada juga yang buat ala Thai, ataupun masak sotong sumbat cili padi. Kali ni saya nak kongsikan resepi sotong sumbat telur masak merah.
Rasa kesedapan dia memang tak boleh bawa bincang. Terasa pedas dan cukup rasa. Cara masaknya pun begitu mudah disediakan. Resepi ni dikongsikan oleh Uya Masbah dan step yang ditunjukkan sangat simple.
Kalau anda nak cepat masak tu, buat je sotong sumbat telur masak merah ni. Lauk ni memang sedap dimakan dengan nasi putih tanpa lauk lain lagi dah. Sebab ada isi telur yang menambahkan lagi rasa. Jom kita lihat cara memasaknya.
RESEPI SOTONG SUMBAT TELUR MASAK MERAH
Resepi masak merah ni memang ada rasa pedas dan manisnya. Kalau anda tak suka pedas atau nak buat hidangan untuk anak-anak, boleh kurangkan kuantiti cili kisar dan lada merah.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Sotong 4 ekor (dicabut kepala dan dibersihkan bahagian dalamnya)
- Bawang besar
- Bawang putih
- Bawang kecil
- Halia
- Telur 4 biji
- Lada besar merah dan hijau 1 biji setiap satu (dihiris sederhana)
- Daun bawang 1 batang
- Tomato 1 biji
- Bawang besar setengah biji yang dipotong dadu
- Kiub ayam 1 ketul
- Cili kering kisar 5 sudu besar (atau ikut tahap kepedasan anda mahu)
- Sos cili 3 sudu besar
- Sos tiram 2 sudu besar
- Garam dan perasa (ikut rasa)
Cara masak sotong sumbat telur masak merah:
▶️ Mula-mula pecahkan telur dalam mangkuk, dan masukkan lada merah, lada hijau, daun bawang, tomato yang dipotong kecil, bawang besar didadukan dan kiub ayam.
▶️ Ketuk sehingga kiub ayam hancur dan telur sebati bersama bahan.
▶️ Seterusnya panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan telur dan goreng menjadi scramble eggs. Dah masak, boleh tutup api dan ketepikan.
▶️ Kemudian kisar bawang besar, bawang putih, bawang kecil, dan halia.
▶️ Selepas tu panaskan minyak sekali lagi dalam kuali, masukkan bahan kisar tadi dan tumis sehingga naik bau dan bertukar warna keperangan.
▶️ Masukkan garam dan perasa secukup rasa.
▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan kacau sehingga sebati. Masak cili dan bahan ni sehingga naik minyak.
▶️ Sambil tu boleh sumbatkan telur scramble tadi ke dalam sotong. Sumbatkan sehingga padat dan jangan ada ruang.
▶️ Selepas tu tutupkan kepala sotong dan cucuk dengan lidi kecil supaya telur yang disumbat tak terkeluar.
▶️ Dalam pada tu cili dah masak dan pecah minyak. Masukkan sos cili dan sos tiram. Kacaukan sehingga sebati.
▶️ Boleh rasa dulu untuk pastikan cukup rasanya. Adjust dengan masukkan garam dan gula ikut citarasa anda.
▶️ Akhir sekali masukkan sotong sumbat tadi. Kacau-kacau sedikit sahaja sebab nak elakkan kepala sotong tercabut dan isi terkeluar. Kalau terkeluar tak menjadi sotong sumbat kita.
▶️ Dah masak sotong boleh tutup api dan angkat.
▶️ Dah boleh dihidangkan!
Bukan sahaja nampak sedap lauk sotong sumbat ni, cara buatnya dan bahan pun mudah je. Kalau dihidangkan dengan nasi panas, memang puas kita menjamu selera.
BACA JUGA: Resepi Sotong Stim Limau Ala Thai Paling Sedap! Sangat Mudah Dan Cepat Penyediaannya!
Telur yang padat disumbatkan dalam sotong tu betul-betul nikmat bila kita gigit macam tu je. Masa menggoreng sotong tu, janganlah goreng terlalu lama. Cukup sekadar sotong tu kelihatan masak sepenuhnya, dah boleh tutup api.
Sebab kalau lama sangat masak, takut sotong menjadi liat. Tak nikmat pula kita makan bersama telur sumbat tu.
Bagi yang nak cuba memasaknya tu, ikutlah resepi sotong sumbat telur masak merah yang mudah ni. Memang sedap sampai boleh makan bertambah-tambah. Jangan lupa mencubanya!