Siapa je yang tak suka masakan Thai. Dari tomyam sampailah masakan stim. Semua pasti pernah mencubanya. Selalunya yang terkenal ialah siakap masak stim. Namun tak ramai yang dah cuba makan dengan sotong. Kali ni jom kita cuba resepi sotong stim limau ala thai paling sedap yang confirm makan sampai licin!
Sebelum tu, semua pasti tahu. Kalau nak masak masakan stim ala Thai ni, kenalah cukup rasa masam, manis dan pedasnya. Kalau salah satu dari ni kurang, orang kata memang tak menjadilah!
Kalau nak dibandingkan masakan stim ni dengan makanan lain, lauk stim ni dikategorikan juga sebagai masakan orang nak berdiet. Mana tak nya, hanya masak cara mengukus tanpa gunakan sebarang minyak. Rasanya pun memang dah sedap pula. Sebab tu menjadi favorite kebanyakan orang.
Bagi yang tak pernah cuba, apa kata jom ikut resepi sotong stim limau ala thai paling sedap macam kat restoran yang dikongsikan oleh Ayadieya ni. Tengok gambar je pun dah buat kita terliurkan!
Resepi ni memang sangat simple. Orang bujang yang tak pandai masak pun boleh buat. Jom kita tengok cara masak sotong stim limau ni.
RESEPI SOTONG STIM LIMAU ALA THAI
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 kilo atau setengah kilo sotong
- 7-8 ulas bawang putih atau lebih
- 8-9 biji cili (atau ikut tahap kepedasan yang kita inginkan)
- 3 biji limau nipis
- Daun ketumbar
- Setengah atau 1 kiub pati ayam sebagai perasa tambahan
- Sos sotong dalam 3 sudu makan
- 2 sudu besar gula
Cara masak sotong stim limau:
▶️ Sebelum mula membuat kuah stim, perlulah masakkan dulu sotong tu.
▶️ Mula-mula kukus sotong tanpa meletakkan air. Kukus selama 7 minit atau sehingga ianya masak.
▶️ Setelah masak, boleh angkat dan toskan. Jangan ambil sekali air sotong tu. Kemudian ketepikan.
▶️ Selepas tu sediakan pula sosnya. Menariknya, nak buat kuah masakan stim ni tak perlu masak keseluruhannya di atas api.
▶️ Hanya panaskan air dalam secawan dalam periuk, dan larutkan kiub pati ayam dan gula. Setelah dah sebati di dalamnya, dah boleh tutup api. Tunggu sekejap ia suam baru teruskan step seterusnya.
▶️ Lepas dah suam, masukkan bawang putih yang dah dicincang. Masukkan juga cili yang dah dipotong, perahan limau, sos sotong dan daun ketumbar yang dah dipotong halus.
▶️ Kacau sehingga sebati. Kemudian rasa kuahnya dahulu.
BACA JUGA: Aneka Masakan Ikan Siakap Yang Marvellous! Hidangan Mudah Untuk Jamu Seisi Keluarga!
▶️ Disebabkan masakan stim limau ni sayaratnya perlulah masam, manis dan pedas, jadi sekiranya rasa kurang masam, boleh tambahkan lagi perahan limau nipis.
▶️ Kalau tak cukup pedas boleh masukkan potongan cili pula. Begitu juga manis dan masin. Kalau kurang masin boleh tambahkan sedikitsos sotong dan kalau kurang manis masukkan gula.
▶️Setelah padu rasanya, dah boleh campurkan dengan sotong yang dah siap dikukus tadi.
▶️ Tuang kuah stim limau ni ke dalam sotong.
▶️ Dah sedia dihidangkan!
Masak hidangan stim ni memang simple. Ikut je citarasa apa yang kita mahukan, lepas tu boleh tambah tolak bahan-bahannya mengikut apa yang kita suka. Dapat mengolah resepi sendiri ni memang sangat mudah kan!
Ada masa kalau rindu dengan masakan thai, tak perlu lagi ke restoran, masak sendiri di rumah je. Dan nak ikutkan, resepi sotong stim limau ala thai ni sama je dengan siakap stim limau. Yang membezakannya hanyalah jenis sosnya. Gantikan je sos sotong dengan sos ikan.
Bagi penggemar masakan thai ni, lepas ni dah boleh simpan stok sos masakannya. Tak payah lagi dah makan masakan thai di restoran. Jangan lupa mencubanya!