Masakan singgang ni cukup terkenal dalam kalangan orang Melayu. Ye lah, walaupun simple je masakan dia iaitu merebus, tapi rasanya sedap dan sangat berselera bila dapat dinikmati dengan nasi. Tak payah lauk lain lagi dah.
Orang kata nak cepat masak ni, buat je masakan singgang. Campak je bahan-bahannya dalam periuk dan terus rebus. Dah siap. Tak ada proses menumis pun. Sebab tu lauk ni juga dimasak oleh orang yang berdiet sebab tak menggunakan minyak.
Biasanya lauk singgang ni terkenal kat belah pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan. Berbeza sikit resepinya berbanding singgang lain sebab tak menggunakan kunyit. Sebab tu warnanya putih.
Senang sangat cara masaknya. Orang bujang atau baru nak belajar masak pun boleh buat. Kali ni saya nak kongsikan resepi singgang daging Kelantan oleh Cik Raa yang super sedap dan mudah sangat diikuti.
Banyak perkongsian yang dijumpai tapi lauk singgang yang dimasaknya nampak sangat sedap dan menyelerakan. Terbayang kalau dapat makan dengan nasi panas. Mesti makan bertambah. Jom lihat resepinya.
RESEPI SINGGANG DAGING KELANTAN
Resepi ni sangat mudah dan ringkas je bahan-bahannya. Masa memasaknya mungkin lama sikit sebab perlu masak daging sehingga empuk. Untuk rasa yang lebih padu, boleh tambahkan cili padi (lada burung). Lagi menambat selera.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Daging ½ kilo yang dihiris atau potong kecil
- Lengkuas ½ inci yang diketuk
- Halia 1 inci yang dimayang atau dihiris panjang. Potong kecil-kecil
- Biji ketumbar 2 sudu besar yang ditumbuk kasar
- Bawang putih 3 ulas dimayang
- Bawang merah 4 ulas dimayang
- Lada kering 3 tangkai yang ditumbuk bersama ketumbar. Tumbuk jangan sampai lumat
- Asam keping 3 keping
- Garam dan gula secukup rasa
- Serbuk perasa dan budu (jika suka)
- Air
Cara masak singgang daging Kelantan:
▶️ Mula-mula panaskan periuk. Masukkan lengkuas, halia, bawang putih, bawang merah, ketumbar yang ditumbuk bersama dengan cili, dan juga daging.
▶️ Gaulkan kesemua bahan tu tanpa air. Yang ni dipanggil rebusan daging tanpa air untuk mati awas. Rasa singgang tu akan lagi sedap sebab bahan-bahan tadi akan meresap ke dalam daging.
▶️ Waktu ni juga, boleh campakkan cili padi (lada burung) yang dipotong 2 pada sesiapa yang ingin masukkannya.
▶️ Selepas tu baru masukkan air. Dan biarkan sehingga daging empuk.
▶️ Kemudian masukkan garam dan asam keping. Sambung lagi masak supaya daging betul-betul empuk. Daging dan asam keping ni dimasukkan lambat sebab nak elakkan daging liat.
▶️ Seterusnya masukkan budu dan perasa jika mahu.
▶️ Kacau sehingga sebati. Dah masak dan cukup rasa boleh tutup api.
▶️ Dah siap dan boleh dihidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Asam Pedas Ikan Pari Follow Resepi Original Melaka. Rasanya Memang Padu!
Wahh nampak sangat menyelerakan. Bila kita lihat, kuahnya tak sama macam kuah yang biasa orang masak singgang Kelantan dengan ikan. Kalau masak ikan, kuahnya lebih putih dan jernih. Tapi untuk daging ni, warnanya kelihatan sedikit kelabu dan pekat.
Sebenarnya, rebusan daging dan bahan-bahan pada awalnya tu yang memekatkan kuah. Itu buatkan rasa dia lebih padu. Kalau makan dengan nasi panas, memang terasa seperti di awang-awangan.
Bagi yang nak mencuba masak singgang daging Kelantan ni, ikutlah sebiji-sebiji resepi ni. Pasti anda berpuas hati. Jangan lupa share kan resepi ni di Facebook masing-masing. Mudah nanti nak rujuknya semula. Selamat mencuba!