Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resepi Sagu Gula Melaka Lemak Berkrim Sebagai Pemanis Mulut! Rahsia Sagu Dimasak Cantik!

0

Pada yang suka pemanis mulut yang berlemak manis, sagu gula melaka ni mesti menjadi salah satu hidangan kegemaran kan? Rasanya memang sedap dan amat menarik sebab boleh dihidangkan dengan pelbagai warna.

Kalau musim bulan puasa tu, tak sah kalau tak jadi salah satu hidangan dessert waktu berbuka puasa.

Sagu gula melaka ni terdiri dari bahan asas yang sudah tentunya sagu yang dimakan bersama susu segar atau santan. Dan gula melaka pula digunakan sebagai pemanisnya. Kalau dijamah sejuk-sejuk memang amat menyelerakan dengan rasa lemak manisnya.

Bagi yang belum pernah buat sendiri sagu gula melaka ni boleh cuba ikut resepi Emy Melissa Mohd Kasim.

Hidangannya antara yang paling cantik dan menambat selera. Mungkin ada yang belum tahu cara memasak sagu ni dengan betul. Jadi, boleh cuba ikut resepi yang dikongsikan untuk pastikan sagu tu nanti masak menjadi.

 

RESEPI SAGU GULA MELAKA

Bahan yang diperlukan:

  • Sagu biji
  • Gula melaka 2 buku
  • Air
  • Daun pandan
  • Susu cair atau santan yang dah dimasak

Cara penyediaan sagu gula melaka:

▶️ Mula-mula perlu larutkan dulu gula melaka. Masukkan gula melaka dalam periuk bersama air dalam 2 ke 3 cawan. Pasangkan api dan kacau sehingga gula melaka larut dan menjadi likat bersama air. Masukkan sekali daun pandan ketika melarutkan gula melaka ni.

▶️ Setelah larut keseluruhan, tutup api dan ketepikan.

▶️ Kemudian masak biji sagu. Didihkan dulu air dalam periuk dan masukkan biji sagu. Semasa proses ni, perlu sentiasa kacau untuk pastikan sagu di dasar periuk tak melekat dan hangus.

▶️ Semasa masak sagu kalau air mula nak kering, boleh tambahkan lagi ke dalam periuk.

▶️ Kacau sehingga sagu menjadi jernih. Sekiranya nampak sikit-sikit warna putih sagu tu, tidak mengapa. Tutup api dan tapiskan. Buang lebihan air.

▶️ Setelah tapis sagu, masukkan ia ke dalam air larutan gula melaka tadi. Kacau sehingga sebati, dan waktu ni akan nampak warna coklat gula tu bersatu bersama sagu.

▶️ Selepas kacau, boleh masukkan ia ke dalam bekas yang sesuai untuk disimpan dalam peti sejuk.

▶️ Sewaktu ingin makan nanti boleh keluarkan sagu dan curahkan susu cair atau santan yang dah siap dimasak.

▶️ Dah siap untuk dihidangkan!

Tips memasak sagu:

Nak masak sagu ni memang kena perlukan sikit kesabaran. Sebenarnya tak susah sangat pun.

▶️ Sebelum masakkan sagu dalam air mendidih, perlu tahu bahawa biji sagu tu tak perlu dibasuh dahulu. Sebab texturenya ringan dan lampung. Masukkan je terus ke dalam periuk.

▶️ Semasa memasaknya pula, perlu ingat bahawa sagu mudah melekat dan hangus kalau dibiarkan lama begitu je. Jadi, kena sentiasa kacau. Selagi sagu masih banyak warna putih, perlu terus didihkannya. Sekiranya kering air tu, boleh ditambah.

BACA JUGA: Rahsia Buat Roti Dan Donut Yang Gebu Dan Serious Lembut! Resepi Mudah Pakai Mixer Je!

▶️ Kadang-kadang selepas dimasak lama pun masih ada lagi sikit-sikit warna putih pada sagu tu. Maksudnya sagu tak kesemuanya bertukar warna jernih. Tapi tak perlu risau. Yang masih tertinggal tu akan masak sendiri kemudiannya. Tak mengapa kalau terus tutup api.

▶️ Sesudah masak, mungkin ada antara kita yang basuh sagu tu untuk membuang kanjinya. Kalau ingin basuh, gunalah air tapis atau air masak sebab nanti ia akan terus dijamah. Pada yang dah yakin ia bersih masa dididihkan tadi, tak perlu basuh lagi. Boleh terus tapis je.

Ikut sahaja step ni pasti sagu anda nanti masak cantik dan nampak menyelerakan sewaktu dihidangkan nanti. Mudah je kan?

Cara masak sagu ni sama je tak kira akan dihidangkan sebagai juadah sagu gula melaka atau pemanis mulut yang lain. Kalau nak makan bersama bubur manis, pengat pisang, bubur jagung dan sebagainya pun boleh juga.

Bagi yang nak cuba, simpanlah perkongsian ni untuk digunakan dalam hidangan yang mempunyai sagu nanti. Selamat mencuba resepi sagu melaka yang sedap dan lemak berkrim ni!

Leave A Reply

Your email address will not be published.