Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Resepi Kek Butter Marble Sukatan Cawan. Tips Nak Dapatkan Kek Gebu Dan Sedap!

0

Perasan tak, kek marble ni sekarang dah selalu orang buat hidangan tetamu waktu raya, atau majlis keramaian di rumah. Sebab kek ni simple tapi cantik dan sedap. Senang juga untuk dibuat. Hanya perasa butter je pun dah cukup enak.

Nak buat hidangan minum petang pun memang layan sangat. Kek butter marble ni popular sebab baunya wangi dan rasanya yang kena dengan tekak kita. Susah nak rasa jemu atau muak bila makan kek ni.

Resepi kek butter marble sukatan cawan paling senang nak ikut pada sesiapa yang nak cuba buat kek ni. Stepnya mudah macam nak buat kek biasa, dan hasilnya pun lembut, gebu dan sedap!

Perkongsian resepi kek butter marble yang sedap kali ni saya nak kongsikan dari resepi asal Puan Umi CT Sha Abdullah. Tengok je hasil keknya dah boleh buat kita jatuh cinta. Nampak gebu dan cantik! Teringin nak buat sendiri dan dapatkan hasil yang sama.

Menariknya lagi, ada dikongsikan sekali tips untuk dapatkan kek yang lagi sedap, cantik dan tak mudah hangit. Jom saya kongsikan.

 

RESEPI KEK BUTTER MARBLE SUKATAN CAWAN

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 250g pure unsalt butter (beliau gunakan jenama Anchor/SCS)
  • Gula kastor ½ cawan
  • Susu segar / freshmilk ¼ cawan
  • Tepung superfine 2 cawan
  • Tepung jagung 1 sudu makan
  • Telur greb B 6 biji
  • Susu pekat 4 sudu makan
  • Esen vanilla 1 sudu makan
  • Serbuk koko 3 sudu makan
  • Emulco coklat 1 sudu makan
Sumber: Google
Tips untuk bahan dan sukatan:

▶️ Dalam pemilihan butter, ini yang paling utama untuk dititik beratkan. Perlu pilih butter yang betul sebab kadang-kadang ada yang sekadar nama je, bukan butter sebenar. Dan pastikan pilih unsalt butter.

Sumber: Majalah Rasa

▶️Untuk sukatan cawan, gunakan penyukat standard 250ml tu. Dengan adanya penyukat ni, mudah untuk sukat dengan tepat. Penyukat ni ada dijual di kedai-kedai alatan membuat kek.

▶️ Tips untuk memilih serbuk koko, gunakan brand Delfi atau Van Houten sebab ianya lebih sedap.

 

Step Membuat Kek Marble Butter:

▶️ Mula-mula campurkan kedua-dua tepung superfine dan tepung jagung. Kemudian ayakkan ia bersama. Dah siap ayak, ketepikan.

▶️ Sediakan bekas dan mixer atau hand mixer. Masukkan butter ke dalam bekas mixer dan pukul hingga betul-betul kembang. Tanda menunjukkan butter betul-betul kembang ialah ianya bertukar menjadi warna putih.

▶️ Bila dah kembang, masukkan gula kastor. Pukul lagi sehingga sebati.

Sumber: Blog bm.cari.com

▶️ Masukkan pula telur satu per satu sambil pukul adunan. Pukul sehingga telur kembang dan berbuih. Masukkan juga esen vanilla.

▶️ Kemudian masukkan susu pekat dan susu cair, dan kacaukan sekadar sebati.

Sumber: Blog bm.cari.com

▶️ Seterusnya masukkan tepung yang dah diayak tadi sikit demi sedikit dan kacau lagi sehingga sebati.

▶️ Bahagikan adunan ni kepada 2 bahagian dalam mangkuk lain-lain. Dalam 1 mangkuk, kekalkan warna asalnya. Untuk adunan lagi 1 mangkuk, kita warnakannya dengan memasukkan serbuk koko serta emulco coklat. Kacau dengan menggunakan teknik kaup balik.

▶️ Sediakan loyang 8 inci, dan sapukan sikit marjerin pada loyang supaya nanti mudah nak dikeluarkan. Jangan lupa lapik dengan baking paper.

Cara masukkan adunan dalam loyang yang dah dilapik baking paper (Sumber: Twitter pja_chan)

▶️ Masukkan adunan dalam loyang secara berselang seli untuk dapatkan hasil marble. Mula-mula masukkan yang warna biasa, kemudian warna coklat. Masukkan warna biasa semula, dan warna coklat balik sehingga adunan habis.

BACA JUGA: Resepi Donut Gebu Dan Lembut. Resepi Paling Senang. Ikut Sebiji-Sebiji Pasti Menjadi!

▶️ Sediakan 1 lidi sate, dan buat corak zebra pada adunan. Caranya ialah masukkan lidi di hujung loyang, dan tariknya ke tengah. Buat untuk 4 penjuru sahaja dah cukup memadai.

▶️ Sambil tu panaskan oven dulu dengan suhu atas bawah sebanyak 170’C selama 10 minit.

▶️ Selepas 10 minit, turunkan suhu ke 160’C dan bakar kek butter dalam masa 45 minit.

▶️ Selepas 45 minit, boleh check kek sama ada dah masak ke belum. Caranya ialah ambil lidi sate dan cucuk ke dalam kek. Lihat sama ada adunan melekat ke tak. Kalau tak ada yang melekat, menandakan dah masak. Kalau masih melekat, bakar lagi 10 minit.

▶️ Dah siap masak boleh keluarkan dari oven. Tunggu sejuk dahulu kemudian potong dan sedia dihidangkan.

Tips untuk elakkan permukaan atas kek hangit:

▶️ Semasa oven sedang bakar kek, lihat timingnya. Bila dah 30 minit, tukarkan api dari atas bawah ke api bawah je. Teruskan bakar sehingga masak.

▶️ Tujuan tukarkan api bawah sahaja ni bertujuan untuk elakkan bahagian atas kek bertukar warna perang dan terlampau garing. Nanti tak cantik dan tak sedap.

Dah siap kek butter marble yang marvelous ni! Mudah je kan?

Bila keluarkan je kek dari oven ni, bau semerbak dan wangi butter tu confirm menangkap selera. Memang tak rugi cuba sebab aroma, dan rasanya yang sedap. Tambah lagi keknya gebu dan lembut. Sekali makan je rasa tak nak berhenti.

Bagi yang nak mencuba tu, simpanlah resepi ni untuk dirujuk nanti. Boleh berulang-ulang buat untuk dihidangkan pada keluarga dan tetamu musim raya nanti.

Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.