Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Cara Buat Kuih Bingka Labu Sedap Dan Lembut. Mudah Je Guna Sukatan Cawan. Wajib Cuba!

0

Peminat kuih bingka mesti tau macam mana nikmatnya makan kuih ni kan. Lagi-lagi makan masa kuih masih panas baru je lepas masak. Lembut pula kat bahagian dalam dan garing di luar! Fuhh, sedap buat hidangan minum petang bersama kopi panas.

Kuih bingka ni juga dipanggil kuih bakar. Ada juga kalangan masyarakat kita panggil kuih bengkang. Ada macam-macam resepi kuih bingka yang biasa orang buat. Biasanya kuih bingka ubi kayu, kuih bingka pandan, kuih bingka durian dan macam-macam lagi.

Kali ni saya nak kongsikan cara buat kuih bingka labu yang sangat sedap dan lembut. Senang sangat proses buat kuih ni. Sebab buah labu ni lembut dan tak perlukan proses menyagat. Ianya juga mudah hancur dan disebatikan dalam adunan.

Kalau ikut cara tradisional dulu-dulu, kuih ni dibakar dengan menggunakan api dan arang. Zaman sekarang ni mudah dengan gunakan oven je. Dah tentu rasanya sikit berbeza, tapi masih enak dinikmati.

Perkongsian resepi kali ni dari Are Lin Via Saya Suka Masak. Sangat mudah bahan yang digunakan dan cara membuatnya pun simple dan senang diikuti. Jom kita lihat resepinya.

 

RESEPI KUIH BINGKA LABU

Selain bakar menggunakan oven, kuih ni juga boleh dibakar menggunakan pengukus. Yelah, kadang-kadang ada juga antara kita yang suka cara kukus berbanding bakar di oven. Ikut cara dan citarasa masing-masing sebenarnya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Tepung gandum 2 cawan
  • Santan 2 cawan
  • Telur 3 biji
  • Gula ¾ cawan
  • Butter 2 sudu besar
  • Esen vanilla 1 sudu kecil
  • Garam ½ sudu kecil
  • Labu 2 cawan (yang siap direbus dan dilenyekkan)
  • Bijan sedikit sebagai hiasan di atas permukaan kuih

Cara membuat kuih bingka:

▶️ Sediakan 1 blender yang besar. Kemudian satukan kesemua bahan-bahan di atas ke dalam blender dan kisar sehingga sebati.

▶️ Sediakan loyang yang dah siap disapukan butter sedikit supaya nanti kuih tak melekat dan mudah untuk dipotong.

▶️ Sambil tu, panaskan dulu oven pada suhu 200’c.

BACA JUGA: Cara Buat Kek Kelapa Guna Sukatan Cawan. Kek Legend Zaman Dulu-Dulu Yang Serious Sedap!

▶️ Tuangkan adunan yang dah dikisar tadi ke dalam loyang. Ketuk-ketuk loyang sedikit supaya adunan sekata dan mampat.

▶️ Taburkan biji bijan di atas permukaannya sebagai hiasan. Letak banyak pun tak apa sebab rasanya sedap bila digigit bersama bahagian yang garing di permukaan kuih nanti.

▶️ Kemudian masukkan ke dalam oven dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak.

▶️ Lepas 1 jam, boleh check dengan cara cucukkan lidi pada kuih. Kalau adunan tepung tak melekat pada lidi, tandanya kuih dah masak.

▶️ Kalau masih ada yang melekat, boleh tambahkan masa membakar dalam beberapa minit sehingga kuih masak sepenuhnya.

▶️ Setelah masak, boleh biarkan sekejap. Dan sedia dipotong untuk dihidangkan!

Nampak menyelerakan kan kuih bingka ni lepas je dipotong. Tengoklah bahagian dalamnya. Lembut, padat dan kenyal isinya yang bila dimakan je terus rasa cair di mulut.

Buah labu juga memang dah semula jadi lembut texturenya. Tambahan lagi sedap dan cantik dengan warna kuningnya tu. Bila dijadikan kuih bingka, nampak cantik dan sangat enak. Sesuai sangat kalau nak dihidangkan pada tetamu.

Cara buat kuih bingka labu ni pun memang cukup mudah dengan bahan-bahan yang simple dan senang je untuk disediakan. Bolehlah kerap buat untuk jadikan santapan keluarga. Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.