Perkongsian Menarik Tanpa Sempadan

Cara Buat Kuih Badak Berendam Sedap, Kuih Tradisional Yang Legend. Tak Sangka Mudah Je Nak Buat.

0

Kuih badak berendam ni memang special. Ada inti manis dan kuah santannya yang berlemak. Paling best bila gigit tepungnya yang kenyal. Sedap kalau dapat dinikmati waktu minum petang. Kalau dulu-dulu, badak berendam ni memang kuih kegemaran orang tua-tua.

Zaman sekarang ni mungkin ramai generasi baru tak berapa kenal kuih ni. Kalau di negeri Sembilan ianya dipanggil kuih sopang. Walaupun dipanggil kuih tradisional zaman dulu-dulu, namun kuih ni masih dianggap legend.

Kalau pergi je bazaar Ramadhan atau gerai kuih, masih ada lagi yang jual kuih badak berendam ni. Mak-mak dan tok nenek kita pun masih rajin buat kuih ni time bulan puasa. Cara buat kuih badak berendam sedap ni sebenarnya mudah je.

Bahan yang digunakan sangat simple dan mudah didapati. Orang-orang muda sekarang yang tak berapa biasa buat kuih pun boleh buat kuih ni. Insya Allah buat sekali boleh jadi!

Cara buat kuih badak berendam sedap ni boleh dipelajari melalui resepi Farisya Sofea, dimana beliau kongsikan resepi untuk dapatkan kuih badak berendam yang cantik, sedap, dan cukup rasanya.

 

RESEPI KUIH BADAK BERENDAM

Nak dapatkan kuih badak berendam yang sedap, kena pastikan inti kelapa cukup rasa manis, dan kuah santan terasa cukup lemak masinnya. Barulah nikmat bila dimakan. Kalau kurang rasa untuk salah satu bahagian ni, boleh terbantut selera.

Bahan-bahan untuk kuih ni terbahagi kepada 3 bahagian iaitu doh, inti dan kuah santan.

Bahan untuk doh:
  • Tepung pulut 2 cawan
  • Air pandan 1 setengah cawan

 

Bahan untuk inti kelapa:
  • Kelapa parut 1 setengah cawan
  • Gula melaka atau gula merah 1 cawan
  • Air ¼ cawan
  • Gula 1 sudu besar (ini optional. Terpulang nak letak ke tak)
  • Tepung gandum 1 sudu besar
  • Daun pandan

 

Bahan untuk kuah santan:
  • Santan 2 cawan
  • Air 1 cawan
  • Tepung jagung 1 sudu besar
  • Daun pandan
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara buat kuih badak berendam:

▶️ Mula-mula sediakan 1 bekas dan masukkan tepung pulut. Kemudian masukkan sikit demi sikit air pandan sambil uli adunan menjadi doh. Dah siap doh ni boleh ketepikan.

▶️ Kemudian masakkan inti pula. Panaskan periuk dan masukkan air bersama gula melaka. Masak dia sehingga gula larut, dan masukkan juga daun pandan ketika ni.

▶️ Selepas tu, tapiskan air larutan gula tu. Selepas tapis, sambung masak semula sehingga ia mendidih.

▶️ Setelah dah mendidih, masukkan kelapa parut dan kacau sehingga sebati.

▶️ Bila inti hampir kering, masukkan tepung gandum pula. Kacau sekata.

▶️ Teruskan masak sehingga kering dan dah boleh tutup api. Sejukkan seketika.

▶️ Kemudian masak kuah santan pula. Sediakan 1 mangkuk atau bekas, masukkan santan, tepung jagung, dan sedikit air. Kacau sehingga sebati dan sehingga tepung tak berketul.

▶️ Kemudian masakkan atas dapur. Masukkan daun pandan dan garam gula secukup rasa. Masak sehingga kuah santan jadi pekat. Dah siap boleh tutup api dan ketepikan.

Sumber: Azie Kitchen

▶️ Sekarang kita masukkan inti dalam doh tepung. Mula-mula ambil sedikit je doh tadi dan bulat-bulatkan. Selepas tu leperkan untuk letak inti.

▶️ Boleh agak-agak letakkan kuantiti inti yang dimasukkan supaya nampak cantik dan kemas.

▶️ Kemudian tutup doh tepung tu dan bulat-bulatkan semula menjadi seperti bebola. Lakukan sehingga doh tepung habis.

▶️ Selepas tu panaskan air dalam periuk dan masakkan tepung bulat tadi.

▶️ Masak doh tu sehingga ia timbul di permukaan air mendidih. Tu tanda dah masak.

▶️ Boleh angkat dan masukkan dalam kuah santan. Kalau nak letak dalam pinggan dan tuangkan kemudian kuah santannya tu pun boleh juga.

▶️ Dah siap dihidangkan!

BACA JUGA: Cara Buat Kuih Bingka Labu Sedap Dan Lembut. Mudah Je Guna Sukatan Cawan. Wajib Cuba!

Tengok je dah nampak menyelerakan kan? Nak lebih cantik, boleh hidangkan kuih ni atas pinggan yang beralas daun pisang. Menarik bila dihidang depan mertua dan tetamu.

Sebab apa kuih ni tak lekang dek zaman? Dah tentu sebab rasa dia yang luar biasa. Kriteria kuih ni ialah tepungnya yang kenyal yang berintikan kelapa manis, dimakan pula dengan kuah santan berlemak masin, sungguh nikmat bila dimakan.

Bagi yang nak mencubanya, ikutlah resepi kuih badak berendam yang cantik dan enak rasanya ni. Simpan dulu resepi ni. Nanti boleh rujuk semula bila nak buat waktu bulan puasa nanti. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.