Buat Sendiri Jeruk Ikan Masin Tenggiri. Rahsia Nak Dapatkan Ikan Masin Lembut Dan Sedap Terangkat! Confirm Jadi!
Ramai tak peminat jeruk ikan masin kat sini? Ikan masin ni kalau kita tengok je memang boleh buat terliur. Selalunya, jeruk ikan masin tenggiri yang paling terkenal orang jual. Pernah tak terfikir nak buat sendiri jeruk ikan masin tenggiri ni?
Fuuhh, dapat buat sendiri banyak-banyak, simpan dan goreng tiap kali nak menjamu selera, memang layan sungguh. Bayangkan kalau dapat makan dengan nasi panas waktu hujan, boleh makan sampai bertambah-tambah.
Pada peminat-peminat jeruk ikan masin ni, jom try buat sendiri ikut resepi yang dikongsikan oleh Puan Suri Abdullah ni. Ada tips untuk dapatkan ikan masin yang sedap dan lembut.
Tambahan lagi ada perkongsian cara menggoreng ikan masin tak hancur dan hidangan yang cantik.
Wahh, kalau pandai buat ikan masin ni sendiri, pasti suami dan ibu mertua suka! Yang penting kena tahu, syarat nak buat ikan masin ni memang memerlukan garam yang banyak. Barulah ianya menjadi dan sedap.
JERUK IKAN MASIN TENGGIRI
Untuk resepi ni, boleh gunakan sama ada ikan tenggiri ataupun ikan gelama. Sebelum tu, bersihkan ikan dan buang segala isi dalam perutnya. Bagi yang suka makan kepala, boleh ambil sekali. Cara memotongnya pula, ikut suka nak besar mana.
Bahan-bahan:
- Ikan tenggiri/gelama yang siap dipotong
- Cuka
- Asam keping
- Garam kasar
- Minyak masak
Cara Buat Sendiri Jeruk Ikan Masin Tenggiri
▶️ Mula-mula jemur dulu ikan di bawah matahari untuk keringkan dia. Jemur dalam 1-2 jam. Tapi pastikan jangan jemur terlalu lama sebab nanti isi ikan akan keras atau kecut.
▶️ Kalau tak nak bagi lalat datang masa jemur tu, boleh semburkan ikan dengan sedikit cuka.
▶️ Selepas jemur tu, masukkan sekejap dalam peti sejuk bertujuan untuk elakkan ada telur lalat andai kata ada telur lalat menyinggah.
▶️ Kemudian pada waktu malam tu dah boleh buat proses peram.
BACA JUGA: Cara Buat Daging Bakar Juicy Dan Lembut. Cicah Dengan Sos Pedas Ala Thai Yang Padu!
▶️ Tips untuk dapatkan jeruk ikan masin yang sedap, peram dalam bekas kedap udara. Dan nak sedap lagi, gunakan tempayan berbanding bekas plastik.
▶️ Celupkan ikan dalam cuka. Jangan lama sangat, dalam kurang seminit je.
▶️ Kemudian boleh masukkan garam kasar dan asam keping. Garam kasar masukkan banyak, tapi asam keping tak perlu terlalu banyak sangat. Agak-agak sahaja sebab takut nanti terlalu masam.
▶️ Proses ni dilakukan selang seli. Iaitu masukkan ikan dahulu, kemudian garam dan asam keping. Lepas tu masukkan ikan semula, dan seterusnya garam dan asam keping. Lakukan sampailah ikan habis kesemuanya.
▶️ Sesudah tu boleh tutup bekas untuk proses peram. Pastikan tiada ruang udara masuk. Peram selama 7 hari.
▶️ Selepas 7 hari, toskan ikan diperam tadi. Dan masukkan ia dalam botol atau plastik. Dan tuangkan minyak masak yang belum digunakan lagi. Biarkan ia semalaman lagi.
▶️ Keesokannya dah boleh digoreng.
▶️ Tips untuk gorengan ikan sedap dan tak hancur, golek-golekkan dulu dalam tepung. Kemudian baru gorengkan.
▶️ Untuk hidangan yang lebih enak, campurkan sekali bawang merah, cili padi dan perahkan dengan limau.
▶️ Sedia dihidangkan!
Wahh, makan jeruk ikan masin dengan nasi panas memang sedap sangat ni. Ada pula bawang, cili padi dan perahkan limau sikit, bertambah-tambah kesedapan dia.
Jeruk ikan masin ni boleh jadi pelengkap lauk lain juga, lagi-lagi makan dengan hidangan lauk kari. Puas hati dapat hidangkan dan makan beramai-ramai dengan keluarga.
Bukan makan dengan nasi putih biasa je, nak masak dengan nasi goreng pun boleh. Best kalau buat sendiri jeruk ikan masin tenggiri ni. Boleh makan berulang kali. Tak perlu lagi beli kat kedai.
Kadang-kadang beli dari kedai pun kita tak tahu tahap masin ikan yang dijual tu. Adakalanya terlalu masin. Cara penyediaannya pun kita tak pasti tahap kebersihannya.
Jadi, bagi sesiapa yang nak buat sendiri, bolehlah ikut resepi ni. Selamat mencuba!